Pengalaman aneh beri keinsafan
SIAPA sangka di sebalik
musibah yang menimpa, ada rahmat besar yang menanti. Perkara ini diakui oleh
Mohd Royzilee Mustaffa. Segalanya berlaku begitu pantas, Royzilee tidak
menyangka dirinya menjadi mangsa rompakan. Walau sudah cukup berhati-hati namun
takdir mengatasi segalanya.
Menyingkap kisah tragis
yang menimpa dirinya, anak muda ini tidak dapat lupakan tarikh 1 September 2005
yang mengubah perjalanan hidupnya. Walaupun sudah tujuh tahun berlalu namun
kisah ini masih segar dalam ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan.
“Ketika melintasi bawah
LRT Masjid Jamek sekitar jam 11 malam, tiba-tiba muncul dua lelaki berwajah
bengis meminta beg yang sedang saya sandang. Namun saya enggan berbuat
demikian, kedegilan saya membuatkan mereka berang.
“Mereka kemudiannya
memukul saya dengan sebatang kayu, saya rasa amat sakit di bahagian kepala
dan tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Apabila buka mata saya sudah
berada dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemeriksaan rapi
dilakukan, saya hanya mampu berdoa agar kesan kecederaan ini akan cepat pulih.
Hasil imbasan CT mendapati ada ketulan darah beku di otak saya. Tetapi doktor
mengatakan ketulan ini agak aneh. Lantaran, doktor melakukan imbasan MRI. Saya
akur dengan keputusan doktor, saya juga tidak sabar untuk mengetahui apa
sebenarnya yang bersarang di otak saya,” ujar Royzilee.
Hasil imbasan MRI amat
mengejutkan, doktor mendapati terdapat tumor sebesar 6 sentimeter dalam otak
Royzilee. Dia terkedu mendengar penjelasan doktor yang mengatakan tumor ini
kemungkinan sudah bermula sejak usianya 16 tahun namun kehadirannya tidak
disedari.
“Kata doktor jika tidak
dikesan pada hari berkenaan, jangka hayat saya tinggal cuma tujuh bulan sahaja.
Perasaan saya bercampur baur ketika itu, terkejut, sedih, bersyukur dan insaf
dengan apa yang berlaku. Maha Suci Allah, saya berasa diri amat kerdil ketika
itu,” cerita Royzilee.
Keadaan semakin sukar
buat Royzilee. Dia diberi kata dua: lakukan pembedahan segera tapi berdepan
dengan risiko untuk lumpuh atau tunggu saja hari kematian. Selepas berfikir
semasak-masaknya, Royzilee tekad melakukan pembedahan.
“Saya tiada pilihan lain
ketika itu, hanya pembedahan peluang untuk saya meneruskan kehidupan. Saya
sedar dengan keadaan diri saya yang kritikal tapi saya tidak mudah menyerah
kalah, saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.
“Sebelum melakukan
pembedahan, saya menjalani rawatan dan mendapatkan khidmat nasihat doktor
pakar. Dalam tempoh itu, saya perlu makan sehingga 65 biji ubat sehari. Ini
sebahagian usaha rawatan yang dilakukan,”katanya.
Tiba di hari pembedahan,
Royzilee merasakan tubuhnya semakin lama semakin mengecil sebaik sahaja bius
memasuki tubuhnya. Tiba-tiba dia berasa tersedar namun ketika itu tubuhnya
dipegang erat dan diikat di atas meja sebelum otak ditebuk. Apa yang mampu
dilakukan cuma menjerit sakit sekuat hati.
Belum pun hilang
kesakitan, muncul pula lembaga hitam bermata merah. Royzilee diangkat dengan
kasar sebelum diikat dan dipanggang hidup-hidup. Habis terbakar baju yang
dipakainya. Bau hangit dagingnya terbakar menusuk rongga hidung. Perasaan
ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Takut, gerun, sedih, geram
bercampur baur.
Puas dipanggang,
Royzilee diletakkan di atas batu berbara. Sungguh pun sakit, perasaan lapar
turut menusuk perut. Tanpa berfikir panjang serpihan batu berbara dikutip lalu
ditelan. Sakit dan panas melecurkan tekak sampai ke usus. Bila diangkat kepala,
terlihat tulisan Iqra’bismirab tertera di langit berwarna merah. Di kiri
kanannya, terdapat ramai lagi manusia mengalami nasib serupa. Malah ada antara
perempuan yang makan rambut sendiri, barangkali tak mampu lagi menahan lapar
sama seperti dirinya.
Dalam keadaan
tertanya-tanya bilakah seksa bakal berakhir, Royzilee dapat merasakan ada satu
tangan besar yang mengutip dirinya lalu dicampakkan ke padang pasir. Aneh,
kulit yang tadinya rentung terbakar serta-merta mengelupas jadi bersih. Hatinya
berdetik, kalaulah ini kiamat mana orang lain?
Ketika meninjau
sekeliling, dia terlihat satu padang hijau. Dek kerana dahaga yang amat sangat,
Royzilee berlari-lari anak menuju ke situ. Sebelum sempat memasuki kawasan
subur tersebut, muncul seorang lelaki berjubah.
“Sambil tersenyum dia
hulurkan pakaian pada saya. Di tangannya terdapat air dan sebiji kurma warna
keemasan,” cerita Royzilee.
Sebaik sahaja air
melalui tekak, bukan sahaja dahaga yang hilang tetapi kepuasannya tidak dapat
digambarkan. Pada fikirannya bagai baru lepas minum selautan air dan tidak akan
berasa dahaga lagi sampai 300 tahun. Bermacam-macam rasa makanan enak pula
bagaikan terkandung dalam sebiji kurma yang diberikan padanya.
Selepas makan Royzilee
dipelawa memasuki padang hijau. Namun dia meminta izin untuk menunggu orang
tuanya datang terlebih dahulu. Dia memilih untuk menunggu di atas seketul batu
berhampiran pintu masuk.
Tidak lama kemudian ibu
bapa Royzilee muncul. Namun belum sempat dia menyentuh mereka, suasana di kiri
kanannya terasa seperti ada aliran laju. Dalam keadaan panik dia menjerit
sekuat-kuat hati sebelum tersedar berada di katil hospital.
Royzile lihat ibunya ada
di sisi. Lepas berbicara dengan ibunya, muncul seorang lelaki di kepala katil.
Wajah, tubuh lelaki tersebut persis dirinya namun berkulit bersih. Katanya
sebelum hilang, ‘kalau kamu tahu alam barzakh maka kamu akan lupakan dunia’.
Keadaan ini membuatkan
dia mula bingung, sama ada dia berada di dunia atau alam mana. Apatah lagi
keanehan demi keanehan mula muncul. Antaranya melihat orang kenit yang amat
ramai. Pernah satu masa, dia bersalam dengan seorang makcik yang kemudiannya
menembus dinding. Telinga kanannya terdengar alunan muzik menenangkan manakala
telinga kiri, diganggu irama bingit dan pelbagai lagi.
Kepala berasa kebas
Selepas berapa lama di
hospital akhirnya Royzilee dibenarkan pulang ke rumah keluarganya di Yong Peng,
Johor. Di rumah, dia tidak berani keluar kerana banyak perkara aneh masih
mengganggu dirinya. Kejadian ini memberi seribu rahmat buat Royzilee, dia sedar
inilah hidayah yang diberikan ALLAH.
Setelah dinasihatkan
bapa, dia mulai solat dalam keadaan duduk. Secara perlahan-lahan Royzilee
mendalami ajaran Islam. Dia mahu berjaya bukan hanya di dunia malah akhirat
juga. Dia memanjat kesyukuran pada Ilahi kerana diberi peluang kedua untuk
terus menikmati kehidupan ini.
“Selepas pembedahan itu,
kepala saya sering berasa kebas, Walaupun dijirus dengan air tapi tak rasa
apa-apa. Jadi saya minta pada ayah untuk pergi mandi air terjun. Syukur selepas
duduk selama dua jam di bawah air terjun rasa kebas hilang sedikit demi sedikit
itu pun setelah empat kali saya melakukannya,” kata Royzilee yang dibawa ke Air
Terjun Berkok, Chaah oleh ayahnya.
Setelah lima bulan
tinggal di kampung, ibu Royzilee mula mengimbau kisah silam yang pernah
dilaluinya. Sebelum ini dia tidak diingatkan kerana dibimbangi mengganggu emosi
yang belum stabil. Antara yang ditunjukkan adalah sekeping gambar yang tertera
wajahnya bersama seorang wanita dan gadis kecil.
“Kata ibu, itu adalah
isteri dan anak saya. Walaupun ibu berusaha mengingatkan saya namun saya masih
berasa bingung kerana otak saya tidak mampu menganalisis sejauh mana kebenaran
tersebut.
“Satu hari, ibu
mengeluarkan sebuah ‘walkman’. Di dalamnya terdapat rakaman saya bermain muzik
bersama kawan-kawan beberapa hari sebelum hari kejadian. Sungguh ajaib, sebaik
sahaja rakaman tersebut didengar dunia saya bagai berputar-putar. Syukur saya
sudah dapat mengingati siapa diri saya yang sebenar dan apa yang berlaku pada
malam saya dipukul.
“Selepas ingatan saya
pulih, saya minta izin keluarga untuk pulang ke Kuala Lumpur. Pada mulanya,
ayah saya keberatan kerana dia bimbang perkara buruk menimpa saya. Namun saya
berjaya yakinkan keluarga, saya tidak mahu terus hidup begini sebaliknya saya
mesti tabah agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” cerita Royzilee.
Beri semangat kepada
pesakit kanser
Jelas Royzilee, penyakit
ini sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupannya. Tanpa disedari
selama ini, penyakit tersebut banyak mempengaruhi tindakan dan keputusannya
dalam hidup.
“Tak sangka,
rupa-rupanya tumor di otak saya turut mempengaruhi emosi dan cara saya berfikir
hinggakan rumah tangganya turut mendapat tempias. Sebelum ini, saya sering
melakukan tindakan kurang bijak.
“Saya tidak akan
sia-siakan peluang kedua ini, selain cuba perbaiki kelemahan yang ada, saya juga
belajar menghargai insan-insan yang saya sayangi. Saya berusaha gigih
memberikan yang terbaik untuk keluarga, isteri, Norhayati Abd Latif, 38, dan
anak-anak, Syafira Irwayu, 13, dan Muhammad Adam Rizqin, 2.
“Sambil bekerja, saya
menyertai Persatuan Barah Otak dan Urat Saraf. Saya sering mengunjungi pesakit
di HKL untuk beri semangat dan sokongan moral pada mereka. Saya pernah melalui
detik getir dalam kehidupan jadi saya amat faham perasaan pesakit kanser.
“Penyakit ini juga
membuatkan saya begitu menitik berat kesihatan diri. Setiap orang perlu
melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar kita ketahui keadaan diri
kita. Jika ada penyakit, kita dapat mengesan lebih awal dan mempunyai peluang
besar untuk rawatan dan kembali sembuh,” ujarnya mendapat sokongan isterinya
yang merupakan jururawat pakar bagi kanser darah. Royzilee juga begitu terharu
dengan pengorbanan kedua ibu dan ayahnya yang banyak membantunya ketika
berdepan saat sukar.
* Dipetik dari majalah
Mingguan Wanita
terima kasih kerana share story saya
ReplyDeleteterima kasih kerana share story saya
ReplyDelete