Seronok berdikari - Juliana Evans

Beberapa hari sebelum bertolak ke Chicago, Amerika Syarikat, penulis menghubungi Juliana Evans untuk bertanya sama ada dia dapat meluangkan masa untuk ditemubual.


Pelawaan itu disambut baik peminat tegar muzik rock ini, malah penulis terharu apabila dia sanggup memandu selama empat jam ke Chicago. Timbul rasa bersalah apabila tayar keretanya pancit ketika dalam perjalanan.
Seakan-akan memahami rasa bersalah yang berselirat di hati, Jue segera mengatakan tak mengapa. Katanya, bukan jauh Michigan ke Chicago, ­lagipun dia sudah biasa ke kota ketiga terbesar di Amerika itu.

Kekal mesra seperti dulu, Jue ramah menjawab setiap soalan diajukan, malah ceria berkongsi rutin hariannya sebagai pelajar. Katanya, ber­ada jauh di perantauan membuatkan dia faham apa itu makna berdikari.
Jika sebelum ini dia tidak pernah melakukan kerja rumah, namun lebih se­tahun melanjutkan pengajian di Universiti Western Michigan di Kalamazoo, Michigan, si cantik ini boleh memasak, membasuh serta melipat pakaian.

Akui Jue, lama juga dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, bahkan dia pernah dihantui perasaan tertekan apabila terpaksa tinggal sendirian tanpa keluarga di sisi.

Jika sebelum itu ini ditatang bagaikan minyak penuh, segala-galanya berubah apabila terpaksa melakukan semua perkara tanpa bantuan ibu atau ayah.

“Ketika tinggal dengan keluarga, semua perkara mama yang uruskan, termasuk pakaian serta makan minum. Jujur, saya tak pandai masak dan tak pernah buat kerja rumah. Namun apabila tinggal sendirian di Michigan, semua kena buat sendiri.

“Mula-mula tiba di sini (Michigan), saya tertekan sebab banyak benda kena buat dalam satu masa. Kebetulan pula banyak masalah datang. Ketika itu memang saya menangis. Bayangkan daripada tak tahu buat apa-apa, saya kena uruskan itu ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur ada rakan yang ajar dan bantu. Lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri. Saya belajar duduk sendiri, beli kereta dan insurans, bayar sewa rumah, memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah.

“Sekarang tak ada masalah lagi. Saya rasa seronok pula apabila dapat berdikari. Fikiran pun tenang, malah fokus saya hanya terhadap pelajaran,” katanya.

Meskipun sibuk dengan kuliah, Jue mencari ruang menghadiri uji bakat teater anjuran universiti, bahkan aktif menyumbang tenaga serta idea dalam menjayakan aktiviti anjuran persatuan pelajar Malaysia.

Katanya, pendekatan itu bukan saja dapat melepaskan kerinduannya terhadap dunia lakonan, malah mempraktikkan apa dipelajari dalam kelas.

“Jadual harian saya padat. Habis kelas, saya sibuk dengan teater dan aktiviti anjuran pelajar Malaysia. Jika sebelum ini saya berlakon, di sini saya jadi tenaga kerja belakang tabir dengan menjaga prop.

“Saya belajar potong kain dan jahit kostum pelakon. Ketika menuntut di tingkatan satu, saya belajar asas jahitan dalam kelas Ekonomi Rumah Tangga.

“Bila tiba hari persembahan, terkejar ke sana-sini pakaikan baju barisan ­pelakon. Kemudian saya kena bersihkan baju itu. Walaupun penat, saya puas. 

Gembira rasanya bila orang suka kostum yang saya jahit.

“Kalau nak tahu, di sini ada ramai pelajar Malaysia. Kami selalu berjumpa dan saya akan babitkan diri dengan aktiviti anjuran persatuan serta universiti, lebih-lebih lagi jika ia ­menonjolkan budaya Malaysia.

“Sebelum ini saya pernah jaga gerai Malaysia dan terbabit dengan pertunjukan fesyen, di mana saya menggayakan cheongsam dan tampil sebagai pengacara.

“Saya juga mengarahkan beberapa video untuk malam persembahan bagi persatuan dan juga kampus. Terbaru, saya terbabit ­dengan program Midwest Games 2013,” katanya.


Tawaran berlakon melalui Facebook

Pertemuan dengan Jue memberi ruang kepada penulis untuk menyelami hatinya. Tidakkah dia takut tinggal sendirian di kejiranan yang sering berlaku jenayah.

Jue berkata, dia sentiasa berwaspada kerana sedia maklum bahaya tidak mengenal tempat dan masa. Berita beberapa kawasan diserang pengganas, termasuk dibom, membuatkannya lebih berhati-hati ketika keluar dari rumah.

Katanya, pernah tahun lalu ketika mengikuti kuliah, dia dikejutkan dengan bunyi siren amaran torpedo. Berikutan amaran itu, semua pelajar diarah berkumpul di kubu perlindungan bawah tanah.

“Hanya Tuhan tahu betapa takutnya saya dan segera menghubungi rakan minta sampaikan pesanan saya sayangkan ibu jika apa-apa berlaku kepada saya.

“Siapa tak kecut perut bila dengar ada kawasan dibom pengganas. Itu belum campur kes jenayah lain di kawasan tempat saya tinggal. Boleh dikatakan setiap malam ada bunyi siren kereta polis.

“Bagaimanapun, perasaan takut itu tidak sampai terbawa-bawa. Yang penting, kita kena berhati-hati. Setakat ini saya biasa berjalan seorang diri.

“Andai rasa tidak sedap hati, saya minta rakan temankan. Syukur saya dikelilingi rakan yang baik dan sudi membantu bila-bila masa,” katanya.

Mengenai kehadiran insan istimewa di sampingnya kini, Jue menegaskan, dia belum bersedia menjalin hubungan serius dengan mana-mana lelaki. Katanya, bukan menolak cinta, namun belum ada jejaka berjaya membuka pintu hatinya.

“Sebelum ini ramai ingat saya bercinta dengan Zizan. Sebenarnya, dia kawan baik saya. Kami masih berhubung, malah kalau ada apa-apa soalan, cerita atau gosip terbaru, dia akan cakap dengan saya. Sebagai kawan, saya sentiasa doakan yang terbaik buatnya.

“Sebelum ini timbul cerita kononnya saya ada teman lelaki mat saleh. Macam-macam spekulasi tidak enak keluar apabila ada gambar saya dan seorang rakan tersebar di Internet. Orang tak tahu cerita sebenar dan terus buat kesimpulan dia teman lelaki baru saya, walhal dia hanya kawan.

“Harap selepas ini tiada lagi spekulasi seperti itu kerana kalau ada teman lelaki, pasti saya akan maklumkan,” katanya.

Suka meluncur salji, memandu bot, berbasikal dan menyaksikan persembahan gig jika ada kelapangan, Jue akui tidak dapat bercuti di tanah air pada musim panas ini kerana menghadiri kelas dan hanya akan pulang tahun depan.

Katanya, dia suka mengembara dan mempelajari budaya dari pelbagai negara. Jue juga tidak melepaskan peluang meneroka bumi Amerika. Setakat ini dia sampai ke Chicago, New York, Detroit, Florida dan San Francisco.

“Sebenarnya impian saya mahu menyambung pengajian di San Francisco, tetapi hajat itu tidak kesampaian. Saya tetap bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Michigan.

“Saya juga terharu kerana tawaran berlakon tidak pernah putus walaupun ramai sedia maklum saya kini melanjutkan pengajian di luar negara.

“Kebanyakan produksi men-ghubungi saya menerusi laman sosial Facebook, bahkan ada yang menyampaikan pesanan kepada rakan artis yang berhubung dengan saya.

“Alhamdulillah, masih ramai ­ingat saya apabila tawarkan watak dalam drama dan telefilem. Melihat tawaran, saya rasa bersemangat untuk habiskan belajar secepat mung­kin. Tak sabar rasanya mahu aktif berlakon semula,” katanya.

Apa pun, rindu Jue untuk berlakon terubat sedikit apabila ter­babit ­dengan penggambaran telefilem New York Cinta terbitan produksi Liyana Jasmay (LJ) yang diarahkan Ghaz Abu Bakar.

Sepanjang tiga hari berkampung di New York, Jue sangat seronok dapat beraksi dengan LJ dan Bront ­Palarae. Telefilem ini akan ­ditayangkan menerusi saluran ­Astro.

“Habis belajar nanti, saya bukan saja mahu teruskan karier sebagai pelakon dan pengacara, tetapi juga pengarah. Saya akan bermula dengan ­mengarah video muzik dan filem pendek,” katanya.

1 comment: